2 mati lemas

KORBAN...ahli keluarga mengangkat mayat Nik Nur Hidayah  selepas ditemui di dasar lagun.
KORBAN...ahli keluarga mengangkat mayat Nik Nur Hidayah selepas ditemui di dasar lagun.
PASIR PUTEH: Lagun Kuala Semerak di Tok Bali, dekat sini, terus ‘menagih nyawa’ apabila dua lagi mangsa menjadi korban hanya dalam tempoh selang lima minit akibat lemas, kelmarin menjadikan keseluruhan mangsa mati lemas di lagun itu seramai 28 orang sejak sembilan tahun lalu.
Kejadian pertama kira-kira jam 3.45 petang diikuti kejadian kedua kira-kira jam 3.50 petang itu mengorbankan Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dan Nik Nor Fatin Izzati Nik Mohd Noor, 15.
Empat lagi nyawa juga hampir melayang apabila kakak Nik Nur Hidayah, Nik Nasuha, 16, nyaris lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, tetapi berjaya diselamatkan sepupunya, Mohd Zamri Ibrahim, 37. Nik Nasuha dirawat di Hospital Tengku Anis (HTA) dan keadaannya dilaporkan stabil.


Sepupu Nik Nor Fatin Izzati, Norhayati Samsuddin, 14, Mohd Halim Zaid, 12 dan Nabila Azmi, 15, juga nyaris lemas namun terselamat selepas dibantu orang ramai.



Difahamkan, Nik Nur Hidayah dari Kampung Gong Penaga, Bukit Awang, yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, dekat sini, dipercayai lemas selepas kakinya terbenam dalam pasir jerlus ketika air pasang.

mymetro

Perjalanan terakhir Noramfaizul

PILU...isteri arwah, Norazrina Jaafar bersama anaknya, Mohd Irfan  dan Mohd Naufal.
PILU...isteri arwah, Norazrina Jaafar bersama anaknya, Mohd Irfan dan Mohd Naufal.
“PENERBANGAN lebih 20 jam lancar tanpa masalah, namun suasana di dalamnya begitu hening, sepi dengan semua penumpang termasuk saya seakan-akan lesu tak bermaya.
Ia penerbangan bersejarah kerana menjadi perjalanan terakhir buat rakan setugas saya, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan curi ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan di Somalia.

Suasana dalam pesawat pengangkut TUDM itu tidak semeriah dan seceria ketika ia terbang bersama 50 sukarelawan dan petugas media ketika membawa bantuan makanan dan perubatan dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Mogadishu pada 28 Ogos lalu.

Saya tidak menaiki pesawat berkenaan ketika itu kerana bertolak lebih awal dengan pesawat komersial, namun diberitahu rakan setugas lain suasana ketika itu berbeza dengan keadaan dalam pesawat ketika membawa jenazah Allahyarham Noramfaizul pulang ke tanah air, semalam.

Arwah sering mengikuti pelbagai misi bantuan di luar negara termasuk di Pakistan, New Zealand, Palestin dan beberapa negara lagi terutama misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

Sepanjang perjalanan yang terpaksa transit di dua negara iaitu di Seychelles dan Maldives untuk mengisi bahan bakar, semua 54 anggota misi berdiam diri kerana bersedih dengan pemergian arwah yang juga ketua media untuk misi terakhirnya itu.


Penerbangan pulang terasa terlalu lama dan saya berterusan dihantui kebimbangan biar pun kami bakal menjejakkan kaki di tanah air sebelum tengah hari semalam.

Keranda yang memuatkan jenazah arwah ditempatkan di bahagian belakang pesawat dan saya duduk di bangku hanya beberapa meter daripadanya, sekali-sekala sempat menoleh ke arah keranda berbalut Jalur Gemilang itu dan pada masa sama melihat beberapa rakan membaca surah Yasin. Sebelum itu, kumpulan kami keluar dari hotel penginapan di Mogadishu seawal jam 7 pagi kelmarin dengan diiringi ratusan anggota pasukan keselamatan kerajaan Somalia bagi menjamin kami semua selamat tiba di Lapangan Terbang Aden Abdulle, untuk menaiki Hercules C-130 yang sedia menunggu.

Tepat jam 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia), saya bersama petugas media dan anggota misi kemanusiaan lain berlepas ke Seychelles dan sepanjang tiga jam penerbangan, kelihatan semua yang berada dalam pesawat berdiam diri serta masih berada dalam keadaan terkejut, takut serta bersedih dengan pemergian arwah Noramfaizul.

Mengenangkan arwah sentiasa riang sepanjang lima hari membuat liputan di negara bergolak yang dilanda masalah kebuluran sejak tiba di Mogadishu 29 Ogos lalu, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang berlaku, namun menganggap ia ketentuan Ilahi dan berdoa supaya roh arwah ditempatkan di kalangan kekasih Allah serta menganggap arwah wira kami di Mogadishu. Sebaik selamat mendarat di Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira jam 10 pagi semalam, keadaan menjadi semakin pilu apabila keluarga arwah termasuk dua anak kecilnya memasuki pesawat bagi melihat jenazahnya.

Lebih mengharukan kepulangan Allahyarham dan anggota misi bantuan kemanusiaan di Somalia disambut ribuan rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jenazah arwah kemudian diuruskan di surau pangkalan udara berkenaan sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Serdang Raya, Seri Kembangan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Saya bersama beberapa anggota misi lain menziarahi rumah arwah sebelum mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan dan berada di sana sehingga selepas upacara pengebumian yang dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan.

Kenangan singkat saya dengan arwah selama beberapa hari di Mogadishu akan diingati selama-lamanya kerana misi ini yang paling bahaya serta mencabar sehingga mengakibatkan beliau gugur ketika bertugas. Tragedi itu berlaku pada jam 5.40 petang Jumaat lalu (jam 10.40 malam waktu Malaysia) ketika arwah bersama sembilan lagi wakil media yang membuat liputan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Somalia yang kebuluran dalam perjalanan pulang ke hotel penginapannya di KM 4, bandar Mogadishu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda selain sebuah kenderaan pasukan keselamatan.

Kenderaan dinaiki arwah terkena tembakan curi ketika berada kira-kira 200 meter dari hotel berkenaan. Tembakan berkenaan turut mengenai seorang lagi jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, menyebabkan dia cedera di lengan kanan.

Kami yang mengikuti misi ini sentiasa akan mengingati Allahyarham Noramfaizul sebagai rakan setugas dan sahabat yang banyak membantu. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman, amin.”

mymetro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
back to top