Anuar 'diburu' pasukan Eropah

Anuar Manan (kiri) ketika beraksi di Le Tour de Langkawi Malaysia 2011 mewakili pasukan Terengganu Pro Asia Cycling Team.

KUALA LUMPUR - Pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan terus menjadi buruan pasukan luar negara dan terbaru menerima lima tawaran termasuk dari Eropah.
Bagaimanapun pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu keberatan untuk memberitahu pasukan mana yang menawarkan khidmatnya berikutan dia masih lagi mempunyai kontrak dengan pasukannya sekarang, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG).
Lebih menarik saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 akan berakhir di negeri kelahirannya, Terengganu dan dia sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk beraksi cemerlang bersama pasukan terbaik.
Menurut Anuar, walaupun tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan untuk beraksi di Sukan SEA Palembang 2011, November ini dia tidak putus asa untuk meneruskan perjuangan, malah bersemangat berlatih setiap hari.
"Saya ada cita-cita tersendiri. Setakat ini saya yakin dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak akan berhenti berkayuh selagi saya tidak mengambil bahagian dalam Tour de France," kata Anuar.
Jelasnya, tahun depan dia tidak mahu menghampakan rakyat Malaysia dan juga penyokongnya dengan sekali lagi meletakkan sasaran untuk mencatat satu kemenangan di LTdL seperti yang dilakukannya pada edisi 2010.
Pada masa ini, Anuar masih lagi menjalani latihan bersama pasukan skuad TSG selepas tidak dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat untuk skuad kebangsaan di Chiang Mai, Thailand.
Perjalanan Anuar pada perlumbaan terbesar Asia, LTdL sangat membanggakan apabila menjadi pelumba pertama negara berada di atas podium selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada edisi 2008 ketika peringkat ketiga dari Sitiawan ke Banting bersama pasukan Le Tua.
Dia terus mencipta nama selepas dinobatkan sebagai pelumba Asia pertama bergelar Raja Pecut pada LTdL 2010
Prestasi cemerlang itu membolehkan Anuar dilamar pasukan luar negara antaranya Islamic Azad University, Geumsan Ginseng Asia dan terbaru bersama TSG.
Selepas sekian lama menyepikan diri, Anuar akan kembali mempamerkan kehebatannya di Jelajah Brunei pada Hari Raya keempat.

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
back to top