Zizan diganggu roh gadis



FAKTOR kejayaan atau kegagalan sesebuah filem suatu yang subjektif untuk dirungkai. Ada filem yang menampilkan gandingan pelakon popular sebaliknya gagal meraih kutipan besar.
Malah, filem lain menggunakan tema dikitar semula mampu tarik perhatian penonton sehingga mencatat kutipan memberangsangkan. Sama ada filem itu berjaya atau gagal, ia tidak seharusnya mematahkan semangat produser tempatan terus berkarya menghasilkan filem baru.
Keberanian ini dibuktikan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang tidak putus harapan menghasilkan filem baru untuk menggalak penonton ke pawagam dan membangun industri perfileman tanah air.

Selepas mencipta kejayaan menerusi Remp-it (2006), Jangan Pandang Belakang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008), Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) dan Adnan Semp-it (2010), Idham masih percaya genre komedi mempunyai tarikan kuat pada penonton.


Idham tampil dengan filem baru, Hantu Bonceng menampilkan Zizan Razak bersama �Juliana Evans, Jue Aziz dan Taiyuddin Bakar sebagai pelakon utama.


Filem terbitan Excellent �Pictures bersama Global Station Sdn Bhd ini ditayangkan di pawagam pada 1 Syawal lalu. Ia mengisahkan kehidupan penghantar piza, Amran lakonan Zizan yang dihantui roh seorang gadis, Maya selepas mereka terbabit dalam satu kemalangan.

Plot bermula apabila Amran yang suka berlumba haram menang pertaruhan satu perlumbaan dan mendapat bohsia iaitu Maya sebagai hadiah kemenangan.

Idham berkata, kisah aksi komedi yang ingin disampaikan kali ini menjadi percubaan padanya dalam mendapat respons penonton.

“Apa yang saya mahukan ketika berkarya adalah mendapatkan cerita yang menghiburkan penonton. Namun, plot yang disampaikan tidaklah hanya santai, tetapi masih mempunyai isu atau mesej yang ingin disampaikan.

“Selepas menghasilkan pelbagai filem komedi sebelum ini, saya rasa masih nak teruskan komedi untuk filem baru. Soal lambakan filem baru ketika ini tidak boleh dipertikai kerana dari aspek perniagaan, ia menggalakkan ramai pelabur untuk masuk.

“Seperti orang berniaga rojak, orang lain juga berniaga sama apabila makanan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli,” katanya pada tayangan previu di pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Merangkap produser dan penulis skrip untuk filem ini, Idham berpandangan menanggung rugi sekiranya filemnya tidak mendapat sambutan adalah risiko yang harus diterima.

“Saya fikir ‘magic’ filem ini datang bila ia dapat tayangan pada Aidilfitri. Ia adalah keputusan antara pawagam yang mengambil filem ini sebagai pilihan utama dan ini sudah memberi kekuatan pada saya.

“Soal saingan, setiap filem mempunyai masa tayangan sendiri. Memberi kelebihan, filem saya sebenarnya mendapat tayangan dua minggu tanpa saingan.

“Saya tidak bimbang dengan filem lain kerana masing-masing membawa genre berbeza. Begitu juga, permintaan pawagam di luar negara memang mengejutkan. Filem ini ditayangkan di 76 pawagam tempatan termasuk dua di Singapura dan Brunei,” katanya.

Katanya, filem ini sudah mempunyai konsep di peringkat awal sebelum memilih Zizan sebagai pelakon utama. Dia melihat Zizan mempunyai gaya komedi tersendiri yang memberi kelainan pada aksi lakon yang ditunjukkan.

Bagi Zizan, tidak mahu mendabik dada andai segelintir penonton beranggapan dia adalah tarikan utama yang mengajak penonton ke pawagam.

“Saya fikir itu mentaliti segelintir orang tetapi saya beranggapan filem ini berjaya atas kerjasama semua pihak. Sebolehnya, saya tidak mahu watak lain tenggelam kerana saya tetapi apa yang penting, setiap pelakon mempunyai keserasian antara satu sama lain.

“Bekerja dengan Idham, dia banyak memberi kebebasan pada saya untuk kembangkan aksi komedi tetapi ia harus berlandas skop cerita itu.

“Idham seorang yang ringkas dan tahu menjaga ‘mood’ pelakon di set penggambaran. Apa yang memberi cabaran pada saya sebenarnya adalah mengawal aksi komedi agar tidak keterlaluan,” katanya.

Juliana pula berkongsi pengalaman sepanjang proses penggambaran suatu yang menyeronokkan. Dia yang pertama kali berlakon bersama Zizan dan produksi Excellent menyifatkan kerjasama terjalin secara profesional.

“Dalam filem ini, Juliana juga pertama kali melakonkan watak hantu. Walaupun tak selesa dengan solekan dan kostum dipakai tetapi ia memberi cabaran pada saya untuk terus harungi.

“Solekan mengambil masa selama sejam dan saya juga pening bila memakai kanta lekap dalam tempoh panjang. Menariknya ketika berlakon, muka kena serius tetapi sempat diusik Zizan dan Idham.

“Bagi saya, pengalaman berlakon filem ini adalah syot yang paling seronok. Sebenarnya, Idham banyak kali menawarkan saya berlakon tetapi jadual bertindih.

“Kebetulan ketika menerima tawaran Hantu Bonceng, saya mempunyai masa dan terus bersetuju untuk berlakon,” katanya.

Sumber : myMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
back to top